Friday, February 26, 2010

Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran PENGKAJI


InsyaAllah persatuan PENGKAJI akan mengadakan sambutan Maulidur Rasul yang akan diadakan di pusat pengajian Dewan Syeikh Daud al-Fathani. Dengan sukacitanya pihak kami menjemput Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian untuk menghadiri majlis sempena Maulidur Rasul ini. Berikut adalah perinciannya:

Jemputan Khas :
Tuan Guru Syeikh Baba 'Abdul 'Aziz as-Syafi'e
&
Tuan Guru Ustaz Fahmi Zam-Zam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki
bersama-sama Kumpulan Qasidah Ahbaabul Musthafa (Banjar)


Tempat :
Dewan Syeikh Daud al-Fathani, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
(Klik sini untuk lokasi)

Tarikh:

16 Rabi'ul Awal 1431 H /2 Mac 2010

Mula :

Selepas Maghrib
(Dijemput solat Maghrib berjemaah bersama-sama jemputan khas)


Kaedah Pembelian (Melalui On-line)

    Untuk PESANAN MELALUI ON-LINE adalah seperti berikut :

    CARA PESANAN =
    1. Sekiranya berminat untuk membeli sebarang terbitan KHAZANAH FATHANIYAH, Tuan/ Puan boleh menghantar maklumat-maklumat berikut sebagai rujukan dan makluman kepada kami :

    a. JUDUL BUKU @ NO. KOD KITAB yang dipesan berserta KUANTITInya
    b. NAMA Tuan/ Puan
    c. ALAMAT yang lengkap (Untuk tujuan pengeposan)
    d. No. TEL (pilihan)
    e. Kaedah Pengeposan = Hanya POSLAJU sahaja (Bagi mengelakkan pelbagai masalah jika pos biasa)
    2. Seterusnya kami akan membalas dengan memaklumakan jumlah bayaran berserta no. akaun KHAZANAH FATHANIYAH (Bank Islam), sebagai rujukan Tuan/Puan untuk membuat bayaran.

    PENGEPOSAN =
    1. Pengeposan akan dilaksanakan pada hari sama sekiranya kami menerima bukti transaksi bayaran (dengan memaklumkan/ melampirkan no.rujukan transaksi) sebelum jam 12 tengah hari pada hari yang sama. Atau keesokkan hari sekiranya lewat dari jam yang dinyatakan tersebut.

    2. Tempoh penerimaan kiriman antara 3 hingga 7 hari waktu bekerja. Sekiranya lewat dari tersebut, mohon dimaklumkan kepada KHAZANAH FATHANIYAH (untuk urusan pemeriksaan di Pejabat Pos)

    3. Sekiranya terdapat permasalahan pada buku, sama ada kerosakan/ kurang halaman/ atau sebagainya, tempoh untuk pertukaran adalah 14 hari dari tarikh pengeposan dikirimkan.
    • Untuk sebarang pertanyaan/ masalah, boleh menghubungi kami di talian pejabat/ kedai buku KHAZANAH FATHANIYAH: 03-42656444.
    Sekian, semoga dipermudahkan-Nya.
    Terima kasih atas sokongan




    Thursday, February 25, 2010

    Kitab Badr at-Tamam papar sirah Rasulullah SAW

    Dalam entri kali ini pula diperkenalkan antara kitab turats yang membicarakan sirah Nabi Muhammad SAW, iaitu kitab Badr at-Tamam, karya ulama terkenal Nusantara, Syeikh Ahmad al-Fathani. Berkenaan perbicaraan kitab Badr at-Tamam ini dipetik dari penulisan Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah, sepertimana yang pernah diterbitkan dalam ruangan Ensiklopedia Nusantara akhbar Berita Harian. Semoga karya-karya beliau ini dapat dimanfaatkan kembali oleh kita generasi kini.

    'Kitab Badr at-Tamam Papar Sirah Rasulullah SAW'

    Oleh:
    Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah

    SEJARAH Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat Baginda belum pernah dimuat dalam Ensiklopedia Nusantara. Artikel ini adalah yang pertama kali diperkenalkan mengenainya. Mengenang Syeikh Ahmad al-Fathani yang meninggal dunia pada 11 Zulhijjah 1325/14 Januari 1908, saya memilih karya beliau yang berjudul Badr at-Tamam wa an-Nujum ats-Tsawaqib.

    Keterangan judul selengkapnya beliau tulis dalam bahasa Melayu iaitu "Pada menyatakan setengah daripada kelakuan an-Nabi al-Mustafa Muhammad SAW, dan pada menyatakan barang yang bagi setengah daripada keluarganya, dan sahabatnya, daripada manaqib, ertinya: segala kelebihan dan kelakuan yang kepujian."

    Karya ini selesai ditulis di Makkah pada waktu Dhuha, Jumaat 9 Rabiulakhir 1307/3 November 1889. Cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 15 Muharam 1309/21 Ogos 1891. Ada lagi cetakan Saudara Press Patani, 185, Jalan Rodi, Patani, 25 Zulkaedah 1377 atas kebenaran Kadi Haji Wan Ismail Syeikh Ahmad al-Fathani.


    Sebelum menceritakan sejarah, secara keseluruhan Syeikh Ahmad al-Fathani berpendapat bahawa "yang sayugia bagi umat ialah mengetahui ia sirah (perjalanan) segala penghulunya, istimewa Nabinya yang maha mulia". Yang beliau maksudkan dengan "segala penghulunya" ialah semua pemimpin, imam yang muktabar, yang bersambung sampai kepada yang "istimewa", iaitulah "Nabinya yang maha mulia". Tiada pemimpin yang lebih mulia mulai dari dunia ini hingga alam akhirat hanya Nabi Muhammad.


    Khusus mengenai sirah Rasulullah, keluarga dan sahabatnya, Syeikh Ahmad al-Fathani berpandangan bahawa "menjadikan lebih bertambah mantap keyakinan, lebih tetap keimanan, bertambah-tambah kemuliaan, dan kelebihan mereka itu pada hatinya".
    Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut "Dan tiada hamba terlihat atas karangan ulama Melayu pada demikian itu sekali-kali", yang beliau maksudkan bahawa hingga tahun 1307 hijrah/1889 masihi belum ada tulisan ulama Melayu kitab yang bercorak sejarah lengkap. Yang ada dalam bahasa Melayu hanya pujian kepada Nabi Muhammad tanpa dilengkapi dengan tahun.

    Dalam penelitian keseluruhan kitab "Maulid Nabi" yang sekian banyak dalam bahasa Melayu yang dibuat perbandingan dengan Badr at-Tamam, ternyata kenyataan adalah benar. Bererti Badr at-Tamam adalah kitab sirah Nabi Muhammad yang pertama dalam bahasa Melayu, yang sekaligus menyentuh sirah puteri Baginda, Saidatina Fatimah; dua cucu Baginda, Saidina Hassan dan Husein. Sekaligus, membicarakan empat sahabat Baginda yang paling terkenal, iaitu Saidina Abu Bakar, Umar bin Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib.


    Seperti tradisi penulisan ilmu lain dalam Islam, sewaktu menulis Badr at-Tamam, Syeikh Ahmad al-Fathani juga menggunakan rujukan yang banyak. Beliau nyatakan: "Maka hamba pungutkan daripada beberapa kitab yang bahasa Arab yang mu'tabarah...". Dalam kandungan dapat diketahui antara kitab yang beliau rujuk ialah Tarikh Ibnu Ishaq, Tarikh Ibnu Hisyam, al-Anwar al-Muhammadiyah oleh Saiyid Muhammad Yusuf an-Nabhani.

    Keseluruhan kandungan
    Badr at-Tamam daripada tujuh Fasal. Mengenai Nabi Muhammad mulai kejadiannya hingga wafat ditempatkan pada Fasal Yang Pertama. Syeikh Ahmad al-Fathani menempatkan Manaqib Saidatina Fatimah pada Fasal Yang Kedua. Pada Fasal Yang Ketiga pula ditempatkan Manaqib Saidina Hassan dan Husein. Daripada susunan fasal yang dinyatakan dapat difahami bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani menempatkan "ahlu al-bait Rasulullah" adalah didulukan daripada sahabat yang empat orang (al-Khulafa' ar-Rasyidun) yang sangat terkenal itu.

    Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani sejarah Nabi Muhammad adalah sejarah yang paling besar, tiada dapat dibanding dengan sejarah siapa pun. Justeru, beliau ungkapkan katanya: "Maka kami berkata bahawasa[nya] perkataan atas barang yang bergantung dengan segala sirahnya SAW, ertinya segala kelakuannya yang dipuji itu tiada hampir dapat dihinggakan."
    Perkataan ini beliau sambung dengan dua rangkap syair dalam bahasa Arab dan diterjemah ke dalam bahasa Melayu: "Dan atas pelbagai segala yang menyifatkan dia dengan keelokannya, habislah zaman, dan pada hal ada padanya barang yang tiada disifatkan".

    Berapa banyak pun tulisan yang membicarakan mengenai Nabi Muhammad, namun rahsia kebesaran atau keagungan Baginda hingga ke hari kiamat tidak akan habis terungkap semuanya.
    Sejarah siapa pun dalam dunia ini yang dibicarakan bermula daripada kedua-dua ayah dan ibu. Tetapi, sangat jauh berbeza dengan sejarah Nabi Muhammad yang hampir semua sejarah klasik Islam dimulai dari alam ghaib, mengenai ‘Nur Muhammad’. Sangat ramai ulama, termasuk ulama ahli hadis mengakui ada hadis mengenai ‘Nur Muhammad’ walaupun akhir-akhir ini pihak tertentu mempertikaikannya.

    Dalam
    Badr at-Tamam, Syeikh Ahmad al-Fathani menggabungkan sejarah yang diguna pakai pada zaman klasik dengan sejarah yang diguna pakai oleh golongan ahli zahir, yang menggunakan teori sejarah yang dianggap moden pada zaman beliau.

    Wallahua'lam.
    ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

    Selamat Menyambut 'MAULIDUR RASUL'
    1431 H



    Dari kami:

    Ahli Jemaah
    Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara
    (PENGKAJI)

    &

    KHAZANAH FATHANIYAH


    Monday, February 22, 2010

    Karya Saiyid 'Utsman Betawi berkaitan Maulud Nabi S.A.W

    Dalam entry sebelum ini telah diperkenalkan antara ulama Melayu yang meraikan perayaan Maulud Nabi iaitu Tok Selehor, seorang ulama yang terkenal di Kelantan. Oleh kerana kita masih di bulan Rabi'ul Awwal ini, iaitu bulan kelahiran junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W, maka diperkenalkan pula antara kitab Melayu yang membicarakan tentang Maulud Nabi ini. Perbicaraan mengenai ini adalah diambil dari penulisan Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah sepertimana yang pernah dibicarakan beliau dalam kolum 'Ensiklopedia Nusantara' terbitan akhbar Berita Harian. Kitab Melayu yang dimaksudkan dalam perbicaraan mengenai Maulud Nabi ini ialah kitab Ad-Durr al-Basim fi Athwar Abi al-Qasim Shallallahu 'Alaihi wa Sallam.


    'KITAB MELAYU BETAWI TERTIB MEMPERINGATI NABI MUHAMMAD S.A.W'

    Oleh:

    Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah

    DALAM rangka memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW cukup banyak peringatan yang diistilahkan dengan "maulud" atau "maulid". Rasanya elok juga diperkenalkan sebuah kitab klasik Melayu-Betawi yang khusus membicarakan mengenainya iaitu Ad-Durr al-Basim fi Athwar Abi al-Qasim Shallallahu 'Alaihi wa Sallam.


    Digunakan perkataan "Ad-Durr" pada awal judul kerana ada pada cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1312 hijrah. Tetapi, pada edisi cetakan di Betawi digunakan perkataan "Az-Zahar".


    Nama pengarang ialah Saiyid 'Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil ibnu Yahya al-Batawi. Tidak ada tarikh mula mahupun selesai penulisan. Semua edisi cetakan diberi keterangan pada bahagian atas dengan kalimat- "Ini kitab menyatakan perihal junjungan kita Saidina wa Maulana Muhammad SAW dengan sebutan mauludnya dan mi'rajnya dan kelakuannya dan perkataannya dan budi bahasanya. Yang sekalian itu elok dan harum hingga dirupakan dengan bunga ros ."


    Bunga ros yang terdapat pada tajuk kitab. Saiyid 'Utsman Betawi menyifatkan bahawa betapa indahnya sifat Baginda Nabi Muhammad S.A.W sehingga digambarkan seperti harumnya bunga ros.


    Dilanjutkan dengan keterangan yang di bawah judul dalam lingkaran bunga, katanya: "Yang ada di dalam bunga ini tertulis, itulah namanya kitab ini. Ertinya bunga yang baru mekar bermusim-musim mehikayatkan perihal ayahandanya Qasim. Iaitulah junjungan kita Nabi Muhammad SAW ..."


    Dalam kitab ini, Saiyid 'Utsman Betawi menggunakan istilah "maulud" bukan "maulid". Istilah "maulud" memang digunakan sejak dulu hingga bertukar secara perlahan-lahan pada 1970-an. Kini, di beberapa tempat lebih banyak digunakan istilah "maulid". Untuk menyesuaikan dengan istilah yang digunakan oleh pengarang kitab yang dibicarakan di sini, saya gunakan juga istilah "maulud". Sebelum memasuki perbicaraan maulud, Saiyid 'Utsman Betawi terlebih dulu membicarakan adab itu, yang beliau bahagikan pada "Empat Faedah".


    Kata beliau: "Faedah yang pertama wajib atas kita sekalian Islam mengetahui bahawasanya junjungan kita Nabi Muhammad SAW hamba Allah yang amat mulia, lebih daripada sekalian makhluk. Lagi bahawa ia pesuruh Allah Taala pada sekalian manusia dan jin.


    Maka wajiblah mengetahui akan hal ehwalnya yang disebut di dalam kitab ini, yang sesetengahnya itu wajib diketahuikannya, dan sesetengahnya itu sunat. Sebahagi[an] lagi wajib atas kita menghormatkan junjungan kita Nabi Muhammad SAW dengan sehabis-habis hormatnya..." Saiyid 'Utsman Betawi mengulas pada bahagian ini dengan agak panjang, menurut beliau bahawa jika mengadakan "Maulud Nabi SAW" janganlah ada di tempat itu jenis "berhala yang dibenci oleh junjungan kita dan oleh malaikat."


    Masih dalam "Faedah yang pertama", Saiyid 'Utsman Betawi berpendapat: "Dan lagi, tiada pantas pula dibaca itu di atas meja kerusi, sebab itu bukannya asal aturan Islam. Dan janganlah ada di tempat membaca itu campuran lelaki sama perempuan. Sebab, itu pertegahan syarak. Melainkan ada dinding antara mereka itu dengan aman daripada fitnah."


    Saiyid 'Utsman Betawi menegaskan lagi: "Dan jangan sekali-kali ada di tempat membaca itu suatu permainan haram. Sebab, itu derhaka besar, melanggar pertegahan Rasulullah SAW di hadapan sebutan nama Allah dan nama rasul-Nya. Maka itu tiada patut sekali-kali di dalam aturan syarak, maka tiada yang membuat begitu rupa, melainkan jika ia jahil akan kadar Rasulullah SAW. Atau tiada mengindahkan kewajipan hormat padanya. Maka adalah itu dekat kepada kelakuan orang yang murtad ..."


    Pada "Faedah yang kedua", Saiyid 'Utsman Betawi menyebut beberapa kitab yang beliau rujuk, antaranya Maulud al-Barzanji, Syaraf al-Anam dan syarahnya.


    Selanjutnya mengenai "Faedah yang ketiga", Saiyid 'Utsman Betawi menulis: "Dibaca di waktu ini Maulud-Mi'raj kapan sahaya, maka dapatlah pahalanya, tiada kurang, insya-Allah asal betul saja segala aturannya. Dan lebih afdal dibaca pada malam 27 bulan Rejab dan pada malam atau pada hari 12, bulan Rabi'ul Awwal adanya."


    Terakhir, "Faedah yang keempat", Saiyid 'Utsman Betawi menggalakkan bacaan selawat, kata beliau: "Jika yang membaca sampai bacaannya kepada suatu fasal, maka dibaca olehnya berserta sekalian yang hadir akan selawat yang ada antara fasal itu berserta doanya".


    Selawat dan doa lafaz Arab dan terjemahnya dalam bahasa Melayu beliau sebut pada "Faedah yang keempat" ini. Saiyid 'Utsman Betawi memulakan riwayat Maulud Nabi SAW diawali dengan Jibril mengambil sekepal tanah dari tempat yang nantinya menjadi kubur Nabi Muhammad SAW di Madinah.


    Kalimat selengkapnya: "Bermula waktu masa yang telah ditakdirkan oleh Allah akan kejadian Nabi Muhammad SAW, maka berperintah oleh-Nya akan Jibrail mengambil segempal tanah daripada tanah yang bercahaya, daripada bahagian tempat kubur Rasulullah SAW di negeri yang mulia, iaitu negeri Madinah al-Munawwarah.


    Maka, lalu turun Jibrail diiringi oleh segala malaikat al-Firdaus dan malaikat ar-Rafi' al-A'la. Maka diambil oleh Jibrail akan yang demikian itu. Maka digulingkannya di syurga dan dicelupkannya di sungai syurga yang bernama Tasnim. Maka bertambah bersinar-sinar cahayanya, lebih dari segala kamalan (maksudnya: keadaan kesempurnaan, pen:) syurga. Dan digulingkannya pula di 'Arasy, dan Kursi, dan segala langit dan bumi dan laut. Hingga diketahui oleh segala mereka itu akan kejadian Nabi Muhammad SAW sebelum diketahui oleh mereka itu akan kejadian Nabi Adam..."


    Thursday, February 18, 2010

    Tok Selehor Ulama Pelopor Perayaan Maulid Nabi di Kelantan

    Bulan Rabi'ul Awwal adalah bulan kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Menjadi kebiasaan sekalian umat Islam di dunia ini menyambut hari bersejarah ini dengan mengadakan perarakan, berzanji dan sebagainya, sebagai tanda kesyukuran kepadaNya atas kelahiran agung baginda Rasulullah S.A.W. Walaupun pelbagai isu dan pendapat yang timbul mengenai perayaan Maulid Nabi ini, namun masih ramai umat Islam tetap akan mengadakannya setiap tahun.

    Dalam dunia Melayu pula, berkenaan Maulid Nabi ini telah banyak karya-karya mengenainya ditulis oleh ulama-ulama Melayu zaman silam. Antara yang terkenal mengadakan perayaan Maulid Nabi ini secara besar-besaran adalah Syeikh 'Abdur Rahman bin 'Utsman bin Senik, atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Selehor/ Tok Selehong. Berikut dilampirkan sejarah ulama terkenal alam Melayu ini, yang pernah ditulis oleh Ustaz Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah dalam kolum Ulama Nusantara (akhbar UTUSAN) dalam bulan Jun 2005.


    TOK SELEHOR KELANTANI

    Berdakwah lewat puisi

    Oleh Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah


    TOK Selehor atau Tok Selehong, nama lengkapnya ialah Abdur Rahman bin Utsman bin Senik. Ulama yang berasal dari Kelantan ini lahir di Kampung Lubuk Jong, tahun 1289 H/1872 M, wafat malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353 H/20 Februari 1935 M. Beliau adalah sahabat Tok Kenali, yang juga berasal dari Kelantan dan lebih tua sedikit daripada Tok Selehor. Tok Kenali lahir pada tahun 1287 H/1871 M, wafat pada hari Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Sahabatnya pula ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, tahun 1293 H/1876 M, wafat di Mekah al-Mukarramah, hari Rabu, 6 Rabiulawal 1376 H/10 Oktober 1956 M), Utsman bin Haji Muhammad bin Haji Abdul Wahhab atau Tok Bacok (lahir tahun 1277 H/1860 M, wafat pada malam Ahad, 15 Zulkaedah 1372 H/27 Julai 1953 M), dan ramai lagi yang belum dibicarakan dalam artikel ini.

    Tok Selehor memulai jihad keilmuannya belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik, Sungai Pinang Kelantan. Kemudian memondok di Patani selama tujuh tahun, belajar kepada Tuan Guru Haji Abdur Rasyid di Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdulah di Tok Jum. Tok Selehor belajar di Mekah selama 18 tahun. Di antara gurunya ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani wafat, beliau masih tetap belajar kepada ayah saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), mendalami ilmu-ilmu alat Arabiyah, ilmu fikah Mazhab Syafie, dan ilmu qiraat yang berbagai-bagai. Tok Selehor mulai membuka pengajian pondok tahun 1340 H/1921 M.

    TOK SELEHOR DAN KITAB HIKAM

    Salah sebuah kitab ilmu tasawuf yang diajar oleh Tok Selehor ialah Kitab al-Hikam. Sebelum membicarakan keterlibatan Tok Selehor dalam pengajaran Kitab al-Hikam karya Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari yang sangat terkenal itu, saya dulukan cerita tentang Kitab al-Hikam terlebih dulu, bahawa terdapat dua buah Kitab al- Hikam versi bahasa Melayu, yang sebuah dalam bentuk matan dan yang sebuah lagi dalam bentuk syarah. Penerbitan awal kedua-dua versi dalam bahasa Melayu itu ditashih dan diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Kitab al-Hikam yang dalam bahasa Arab pula terdapat berbagai-bagai syarah. Syeikh Ahmad al-Fathani dipercayai telah mengajar kitab tersebut kepada murid-muridnya, sama ada di rumahnya di Mekah mahu pun di Masjid al-Haram. Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar wa ar-Rayahin, istilah `hikam', beliau takrifkan sebagai jamak daripada perkataan `hikmah', yakni `perkataan yang diteguhkan'. Ada pun istilah hikmah/hikmat mengandungi pengertian yang berbagai-bagai, di antaranya ialah: `pandai menyurat/menulis, ilmu yang dapat melahirkan sesuatu yang luar biasa/menyalahi adat kebiasaan, kata-kata nasihat yang mantap, dan lain-lain lagi. Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa perkataan `hikmah', ditafsir oleh Ibnu Abbas r.a. yang terdapat dalam al-Quran ialah, ``dengan belajar halal dan haram''. Yang lain berpendapat, ``ditinjau dari segi lughah ialah ilmu serta amal''. Pendapat yang lain, ``hikmah itu diambil faedah daripadanya, iaitu yang sebenar pada diri pekerjaan dengan sekira-kira kuasa manusia''. Pendapat yang lain, "tiap-tiap kalam yang muafakat akan hak, maka iaitu hikmah''.

    SANAD

    Jika kita jejak sanad pengajian Kitab al-Hikam mulai pengarangnya, iaitu Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari hingga turun sampai kepada Tok Selehor, ialah Tok Selehor merupakan yang ke-17. Untuk lebih jelasnya dapat diperhatikan sanad sebagai berikut:

    1. Tok Selehor, Kelantan, belajar kepada (2)
    2. Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, belajar kepada (3)
    3. Saiyid Abi Bakri Syatha, belajar kepada (4)
    4. Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada(5)
    5. Syeikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada (6)
    6. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, beliau telah menulis syarah kitab yang dibicarakan ini. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi belajar kepada (7)
    7. Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada (8)
    8. Syeikh `Id an-Namrisi, belajar kepada (9)
    9. Syeikh `Abdullah bin Salim al-Bashri, belajar kepada (10)
    10. Syeikh Muhammad bin `Ala' al-Babli, belajar kepada (11)
    11. Syeikh Abi an-Naja Salim bin Ahmad as-Sanhuri, belajar kepada (12)
    12. Saiyid an-Naju Muhammad bin Ahmad al-Ghaithi, belajar kepada (13)
    13. Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari, belajar kepada (14)
    14. Saiyid al-'Izzu Abdur Rahim bin al-Farrat, belajar kepada (15)
    15. Syeikh at-Taju `Abdul Wahhab bin `Ali bin `Abdul Kafi, belajar kepada ayahnya (16)
    16. Syeikh at-Taqiy `Ali bin `Abdul Kafi as-Subki, belajar kepada (17)
    17. Syeikh al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin `Abdul Karim bin Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari atau disingkat namanya dengan Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari, iaitu pengarang Kitab al-Hikam yang sedang dibicarakan ini.

    Ulama yang aktif beramal dengan Thariqat asy-Syaziliyah ini menghasilkan beberapa buah kitab, selain Kitab al-Hikam ialah Tajul `Arus fil Washaya wal Mawa'izh, Lathaiful Minan fi Manaqib al-Mursi wa Abi al-Hasan, dan lain-lain. Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari, ulama besar sufi yang sangat besar pengaruhnya di seluruh dunia Islam, termasuk dunia Melayu, tersebut wafat di Kaherah, tahun 709 H/1309 M.

    Ustaz Ismail Awang, dalam majalah Pengasuh menyebut: ``Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawuf. Kitab Hikam oleh Ibnu Ataillah merupakan kitab paling suka diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah, serta menjauhi sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum`ah dan sebagainya.'' Oleh sebab Tok Selehor adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani, maka bererti sanad Tok Selehor dan murid-murid beliau dalam pengajian Kitab al-Hikam dan kitab-kitab lain karangan Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari dapat disambung seperti sanad yang telah disebutkan di atas.

    TASAWUF

    Kitab pengetahuan tasawuf selain Kitab al-Hikam secara umum juga dipelajari di seluruh dunia Melayu, termasuk dalam pondok yang diasaskan oleh Tok Selehor. Keseluruhan karangan Imam al-Ghazali, dalam hal ini yang paling ditekankan dan dimantapkan di antaranya ialah Minhajul Abidin dan Ihya' Ulumid Din. Sanad yang sampai kepada Imam al-Ghazali mulai nombor 1 sampai nombor 7 (Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni) pada sanad Kitab al- Hikam adalah sama, tetapi untuk sampai kepada Imam al-Ghazali adalah belajar kepada (8)

    8. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Budairi, belajar kepada (9)
    9. Syeikh Mullah Ibrahim al-Kuarni, belajar kepada (10)
    10. Syeikh Muhammad Syarif, belajar kepada (11)
    11. Syeikh Abi Ishaq at-Tanukhi, belajar kepada (13)
    13. At-Taqiy Sulaiman bin Hamzah, belajar kepada (14)
    14. Syeikh `Umar bin Karam ad-Dainuri, belajar kepada (15)
    15. Syeikh al-Hafiz Abi al-Faraj `Abdul Khaliq bin Ahmad bin Yusuf al-Baghdadi, belajar kepada (16)
    16. Al-Imam Hujjah al-Islam Abi Hamid bin Muhammad bin al-Ghazali yang disingkatkan panggilan dengan Imam al-Ghazali saja. Sebagaimana yang tertulis dalam sanad yang tersebut di atas jelaslah bahawa ulama dunia Melayu yang diriwayatkan ini adalah sanadnya bersambung sampai kepada pengarang Minhajul `Abidin dan Ihya' Ulumid Din, iaitu Imam al-Ghazali yang sangat masyhur namanya itu.

    BERZANJI DAN BURDAH

    Ustaz Ismail Awang menulis, ``Tok Selehor pernah mengadakan Maulid an-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran di adakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulid Nabi anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar pada zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasulullah s.a.w. yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah s.a.w. daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.''

    Praktik memperingati Maulid Nabi, membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama, oleh itu yang dilakukan oleh Tok Selehor seperti yang tercatat di atas adalah tidak dapat dimasukkan dalam klasifikasi bidaah dhalalah seperti yang pernah dilemparkan oleh hanya sekelompok kecil orang. Kitab Berzanji yang disyarah dalam bahasa Arab banyak dilakukan oleh ulama. Ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi pernah dilakukan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain.

    Syeikh Nawawi al-Bantani telah menulis tentang Maulid Nabi dalam lima judul karyanya, bahkan mengenai Maulid Nabi merupakan karyanya yang terawal. Karya tersebut ialah Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin, yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan judul-judul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul Nazham Nuril Anam, diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. Transliterasi lengkap dapat dibaca dalam buku Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, lihat hlm. 3 - 46.

    Kitab Berzanji dapat dikategorikan dalam bidang sastera Arab, demikian juga Burdah Bushiri. Burdah Bushiri pernah diterjemah oleh Tok Kenali, sahabat Tok Selehor, yang diberi judul Risalatud Durril Mantsur, selesai beliau tulis pada bulan Jumadilakhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Meah, Jumadilakhir 1310 H. Selain itu juga oleh guru kedua-duanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan yang diberi judul Risalah Majma' al-Qashaid wa al-'Awaid yang selesai ditulis pada bulan Zulkaedah 1320 H/ Februari 1903 M.

    Monday, February 15, 2010

    Thariqat shufiyah di dunia Melayu

    Seperti yang dijanjikan pada entri yang lepas, dipetik beberapa petikan-petikan karya al-Ustaz Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah mengenai ilmu tasawuf dan thariqat-thariqatnya. Untuk siri ini, segala petikan diambil dari karya beliau yang berjudul PENYEBARAN THARIQAT-THARIQAT SHUFIYAH MU'TABARAH DI DUNIA MELAYU, antara karya beliau yang khusus membicarakan silsilah ilmu Tasawuf dan Thariqat di alam Melayu. Dimulakan dengan kata-kata beliau yang diambil dari isi kandungan muqaddimah buku iaitu;

    "Perkembangan mutakhir ilmu tasawuf dan thariqat-thariqatnya di dunia Melayu, diwarnai dengan penuh cabaran dan kecaman. Segelintir intelektual Islam masa kini sering memandang sesat dan menyalah-nyalahkan mereka. Sebaliknya sekian ramai orang, termasuk ulama, mempelajari dan mengamalkannya dengan tekun tanpa ragu. Saya berpendapat bahawa ilmu tasawuf dan thariqat-thariqat yang tidak tentu asal-usulnya memang boleh dianggap salah. Namun ilmu tasawuf dan thariqat-thariqat tertentu yang telah diamalkan oleh sekian ramai ulama sekarang, atau masa dulu, yang bersanad/bersilsilah sambung menyambung dengan para 'ulama shalihin, salafus shalih, hingga sampai kepada para tabi'in, sahabat Radhiyallahu 'anhum, dan Rasulullah S.A.W sendiri adalah suatu jalan yang benar, yang tiada perlu dipertikaikan. Oleh sebab itu saya berpendapat bahawa para ulama yang beramal dengan ilmu tasawuf dan thariqat-thariqatnya berada pada posisi yang sebenarnya,.........".

    Antaranya yang diperjelaskan oleh beliau lagi adalah;

    "Dalam buku ini hanya dimuat sebahagian kecil thariqah shufiyah yang berkembang dan dikenalpasti oleh masyarakat shufi Melayu sahaja, walaupun sebenarnya masih banyak thariqat shufiyah yang tidak disebut dalam buku ini juga terdapat di dunia Melayu. Sebagai contoh pada halaman 2 dan 3 buku ini, saya petik tulisan Syeikh Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dalam kitab Asrar as-Suluk ila Mala'il Muluk, menurut beliau bahawa asal thariqah tasawuf Islami dalam dunia ada empat belas. Ada ulama berpendapat bahawa nama thariqah shufiyah mu'tabarah adalah sembilan puluh sembilan. Saya berpendapat dengan yang disebut oleh Syeikh Faqih Jalaluddin al-Asyi itu. Tetapi walau bagaimanapun, yang empat belas itu adalah setelah dijabarkan dari sumber yang satu, menurut jumhur ulama' shufiyah, bahawa asalnya adalah satu jua, iaitu berasal dari Nabi Muhammad S.A.W, termaktub hujah-hujah dalam al-Qur'an dan as-Sunnah, iaitulah hujah-hujah mengenai 'zikrullah'. Adapun nama thariqat yang diberikan, yang datang kemudian, hanyalah berdasarkan kerana terdapat seseorang nama tokoh terkenal. Sebagai contoh, Syeikh Faqih Jalaluddin al-Asyi menulis, "Thariqat Thaifuriyah pengetuanya Abu Yazid al-Bisthami, Thariqat Jistiyah pengetuanya Abu Ahmad Badruddin, Thariqat Qadiriyah pengetuanya Syeikh 'Abdul Qadir al-Jilani...". Syeikh Faqih Jalaluddin al-Asyi menggunakan istilah 'pengetua' adalah tepat dan betul sebagaimana tepat dan betul istilah yang digunakan oleh beberapa orang 'ulama shufiyah sendiri pada tempat yang disebut 'nisbah'/dibangsakan. Sebagai contoh; Thariqat Syathariyah dinisbahkan kepada Syeikh 'Abdullah asy-Syathari, Thariqat Naqsyabandiyah dinisbahkan kepada Syeikh Bahauddin an-Naqsyabandi, dan lain-lain. Saya tidak berpendapat dengan istilah yang digunakan seperti 'didirikan' atau 'diasaskan'. Thariqat Qadiriyah bukan didirikan atau diasaskan oleh Syeikh 'Abdul Qadir al-Jilani, Thariqat Syathariyah bukan diasaskan atau didirikan oleh Syeikh 'Abdullah asy-Syathari, juga beberapa thariqat-thariqat lain lagi, tetapi sebenarnya semua thariqat yang disebut contohnya itu telah wujud jauh sebelum kelahiran ulama-ulama yang tersebut. Nama sesuatu thariqat memang belum ada, tetapi amalannya iaitu 'zikrullah' adalah merupakan amalan Rasulullah S.A.W. Bahkan merupakan amalan para Anbiya' yang terdahulu, sejak dari Nabi Adam 'Alaihis Salam lagi. Keterangan lanjut sebagai amalan Rasulullah S.A.W dapat diperhatikan silsilah yang saya muatkan dalam buku ini......"

    Antara thariqat-thariqat yang dibicarakan oleh beliau dalam buku berjudul PENYEBARAN THARIQAT-THARIQAT SHUFIYAH MU'TABARAH DI DUNIA MELAYU tersebut adalah seperti Thariqat Syathariyah, Thariqat Qadiriyah, Thariqat Naqsyabandiyah, Thariqat Rifa'iyah, Thariqat Ba'alawiyah/ 'Alawiyin, Thariqat Khalwatiyah, Thariqat Syaziliyah, Thariqat Sammaniyah-Khalwatiyah, Thariqat Ahmadiyah Idrisiyah, dan Thariqat Rahmaniyah. Terkandung di dalam buku ini adalah silsilah thariqat yang dibicarakan, termasuk kitab-kitab hadits, yang dilengkapi dengan sanad.

    (ISBN: 983-9701-34-7)

    Sebelum mengakhiri bicara ini, dipetik lagi kata-kata pengarang buku yang ditulis pada bahagian akhir muqaddimah beliau, iaitu;

    "Saya mengharapkan kepada semua pihak marilah kita mempelajari kepelbagaian disiplin ilmu tasawuf dan thariqah-thariqah shufiyah yang ada di dalamnya. Marilah kita sama-sama saling menghargai penyelidikan sesuatu disiplin ilmu dalam Islam termasuk juga ilmu-ilmu tasawuf dan thariqah-thariqah shufiyahnya. Usaha-usaha ke arah menghindarkan diri dari bermusuhan sesama Islam dan mencari jalan perpaduan ummah adalah pekerjaan yang sangat mulia, yang diredhai oleh Allah S.W.T. Sekian dulu, mudah-mudahan kita mendapat keredhaan Allah, Amin, Ya Rabbal 'Alamin!".

    ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

    * Di kesempatan ini, pihak kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS atas cenderahati yang berbentuk buku-buku ilmiah yang sangat berguna pada seminar yang diadakan baru-baru ini. Dan antaranya yang ingin dikongsi adalah kitab Mathla'ul Badrain edisi terbitan 2009 yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

    (ISBN : 983-42513-4-3)

    Diharapkan usaha seperti ini iaitu memartabatkan kembali karya-karya ulama Melayu zaman silam ini sentiasa berkesinambungan untuk generasi kini.

    Bertemu kembali.