Thursday, March 18, 2010

Terbitan Khazanah Fathaniyah di Pesta Buku Antarabangsa PWTC' 2010

InsyaAllah Jumaat ini bermulalah Pesta Buku Antarabangsa 2010, di PWTC, yang mana menghimpunkan sekalian banyak bacaan-bacaan yang terdiri daripada pelbagai genre. Dimaklumkan juga bahawa terbitan-terbitan Khazanah Fathaniyah boleh diperolehi di pesta buku tersebut. Berikut adalah perinciannya:

Lokasi 1
Tarikh: 19 - 28 Mac 2010
Lokasi : LP G03 (Rujuk peta di sini
Booth : Pelima Media

Lokasi 2:
Tarikh : 19 - 28 Mac 2010
Lokasi : B 08, Aras 3 (berdekatan Utusan Malaysia)
Booth : Percetakan Saufi

Masa : 
Isnin - Khamis = 10.00 pagi hingga 8.00 malam
Jumaat - Ahad = 10.00 pagi hingg 9.00 malam


Kedatangan Tuan-tuan yang dihormati sekalian sangat dialu-alukan:) Boleh menghubungi kami untuk sebarang pertanyaan lanjut, InsyaAllah pihak kami sedia membantu:) 
Terima kasih.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Alhamdulillah, tahun ini Khazanah Fathaniyah dan Persatuan PENGKAJI tidak berhenti-henti menerima undangan untuk mengadakan pameran dan jualan di beberapa tempat di sekitar negeri-negeri di Malaysia. Maaf, terdapat banyak tempat yang telah diadakan tersebut tidak diwar-warkan di sini. InsyaAllah di masa akan datang, kelemahan ini akan cuba diperbaiki. Oleh kerana kita masih lagi di bulan Mac  lagi, berikut dikongsikan antara aktiviti pameran dan jualan Khazanah Fathaniyah di beberapa tempat lain:

TERENGGANU

'MAJLIS SILATURRAHIM PONDOK SE-MALAYSIA KALI KE-4'
Tarikh : 20 & 21 Mac 2010 (Sabtu & Ahad)
Tempat : Madrasah Darul Muhajirin, Bukit Jong, Terengganu
Anjuran:  ITMAM dan Madrasah Darul Muhajirin

SELANGOR

'KONVENSYEN PENGUKUHAN ALIRAN AHLI SUNNAH WAL JAMA'AH SEBAGAI ARUS PERDANA DI NEGERI SELANGOR'
Tarikh: 20 Mac 2010
Masa : 8 pagi - 4.30 petang
Tempat : Auditorium Dewan MBSA, Shah Alam
Anjuran : Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS

PULAU PINANG

"KONVENSYEN MODAL INSAN PERINGKAT LUAR BANDAR"
Tarikh: 20 Mac 2010
Tempat : Masjid Merbau Kudung, Sungai Dua, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Anjuran : KKLW & RISDA PULAU PINANG.


PAHANG

"MAJLIS MAULIDUR RASUL"
Tarikh : 20 Mac 2010
Tempat : Masjid Karak Setia, Kg. Karak Setia, Karak, Pahang.
Anjuran : Pejabat Menteri Besar Pahang & Majlis Perbandaran Bentong, Pahang

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Selain mengadakan aktiviti pameran dan jualan, dimaklumakan juga bahawa persatuan PENGKAJI akan mengadakan majlis tahlil Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah pada malam Jumaat ini. Dengan ini dijemput ahli-ahli jemaah Persatuan PENGKAJI  sekalian meluangkan masa untuk menghadiri majlis ini, di samping bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli. Berikut adalah perinciannya:

Hari : Khamis malam Jumaat
Tarikh : 18 Mac 2010
Mula : Dijemput solat Maghrib berjemaah. Majlis dimulakan selepas solat Maghrib.
Tempat : Dewan Syeikh Daud al-Fathani (klik lokasi di sini)

Kedatangan Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian adalah dialu-alukan.

Sampai berjumpa lagi:)

Thursday, March 11, 2010

24 Rabi'ul Awwal - 3 tahun yang lalu. Al-Fatihah...

Hari ini  24 Rabi'ul Awwal 1431H (berdasarkan tahun hijrah) genaplah 3 tahun kembalinya Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah ke rahmatullah, iaitu bersamaan 12 April 2007 yang lalu. Setelah 3 tahun, diakui penerbitan Khazanah Fathaniyah mengalami pelbagai liku dan cabaran yang kadangkala hampir melumpuhkan semangat dan keghairahan untuk meneruskan perjuangan ini. Bukanlah berniat untuk putus asa dan mengeluh dengan keadaan yang menimpa, namun sebagai manusia yang tidak maksum adakalanya akan hadir juga sifat mazmumah sedemikian, setelah diasak dengan pelbagai halangan dan rintangan yang juga adakalanya tidak termampu ditanggung. Adakalanya benar-benar kehidupan di hujung tanduk! Tetapi, alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada-Nya kerana dengan cabaran tersebutlah menjadikan seseorang lebih mendekatkan diri kepada-Nya, kerana liku yang berduri itulah telah mengajar diri bagaimana untuk mengharungi duri itu, kerana halangan itulah menjadikan seseorang semakin bijak mencari jalan penyelesaiannya, kerana rintangan yang melanda jualah telah berani mencuba untuk bina kubu pertahanan yang utuh, kerana hampir di hujung tanduk itulah juga telah memotivasikan Khazanah Fathaniyah agar tidak seseringnya bergantung setiap kali dilanda kesukaran, ya, kebergantungan hanyalah kepada-Nya sahaja. Dan  secara tidak langsung dapat merasai betapa peritnya selama ini dilalui oleh beliau, namun dizahirkannya dengan hati yang tenang seolah-olah tiada kacau bilau yang melanda. Dan secara tidak langsung, dipohon kesyukuran kerana tidak mengalami kesulitan seperti beliau yang bermula tanpa apa-apa berbanding kini. Alhamdulillah segalanya telah banyak tersedia.


Sedikit yang dapat dicoretkan, bahawa setiap sesuatu yang telah ditakdirkan-Nya walaupun zahirnya kelihatan tidak menyebelahi kita, InsyaAllah terkandung hikmah-hikmah yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah akan takdir-Nya ini, walaupun kini Khazanah Fathaniyah masih diumpamakn merangkak-rangkak untuk cuba berjalan dengan betul, namun sekurang-kurangnya usaha tetap diteruskan tanpa berputus asa, dan diharapkan usaha-usaha perjuangan ini berkesinambungan dari generasi ke generasi akan datang. InsyaAllah.

Al-Fatihah.

InsyaAllah, persatuan PENGKAJI akan mengadakan majlis tahlil, yang mana masa dan hari akan dimaklumkan kelak. Terima kasih tidak terhingga atas sokongan dari pelbagai pihak:)

Wednesday, March 03, 2010

Cetakan Ulangan Terbaharu - Kitab AL-BAHR AL-WAFI WA AN-NAHR ASH-SHAFI

Alhamdulillah, hari ini bersamaan 17 Rabi'ul Awal 1431 Hijrah, Khazanah Fathaniyah telah berhasil mencetak kembali kitab berjudul Al-Bahr al-Wafi wa an-Nahr ash-Shafi karya ulama terkenal yang pernah menjadi hakim mahkamah Syarie di Makkah al-Mukarramah, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani, atau lebih terkenal di Arab dengan nama Syeikh Muhammad Shaghir al-Fathani atau Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, nama yang terkenal menurut pertuturan orang Melayu.

Adapun kitab Bahr al-Wafi ini telah beberapa kali diulang cetak atas beberapa permintaan yang berterusan saban tahun. Bahkan kitab ini diakui bahawa antara kitab fiqh terlengkap mengenai perbicaraan haji dan umrah berbanding kitab-kitab turats yang lainnya.

Cetakan pertama kitab ini dimulakan pada tahun 1996 oleh pengasas Khazanah Fathaniyah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah. Tahun 2010 ini pula adalah cetakan ulangan yang ke lima dengan menampilkan kulit buku dan reka bentuk yang baharu dari cetakan-cetakan sebelumnya.




ISBN : 978-983-9701-68-5
Harga : RM 68.00
Halaman : 613 halaman

Berikut dipetik maklumat ringkas mengenai kitab Al-Bahr al-Wafi ini yang pernah dibicarakan oleh Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah dalam ruangan 'Ensiklopedia Nusantara' akhbar Berita Harian.

AL-BAHR AL-WAFI: KITAB FIQH TERBAIK
Penerangan ilmu Fiqh yang jelas dan gaya bahasa mudah difahami

Oleh:
Haji Wan Mohd Shaghir 'Abdullah

APABILA membuat analisis penulisan ilmu fiqh bahagian ibadah mazhab Syafie di dunia Melayu, ada sekurang-kurangnya lima judul semodel dengannya, iaitu:
  • Ash-Shirath al-Mustaqim karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Peneliti khazanah dunia Melayu sepakat menyebut bahawa ia adalah kitab fiqh yang pertama dalam bahasa Melayu.
  • Sabil al-Muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.Beliau menyusun kitab ini berdasar dan lebih memperluas kandungan Ash-Shirath al-Mustaqim.
  • Bughyah ath-Thullab karya Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.Sungguhpun Syeikh Daud merujuk pelbagai kitab dalam bahasa Arab, namun dalam Bughyah ath-Thullab, sekurang-kurangnya dua kali Syeikh Daud menyebut judul Sabil al-Muhtadin.
  • Fat-hul Mubin karya Syeikh Muhammad Shalih ar-Rawa/ar-Rawi.Pada beberapa tempat dalam kitab ini juga lebih memperjelas beberapa kalimat dalam Sabil al-Muhtadin.
  • Memerhatikan tahun penulisan empat kitab itu. maka dapat dipastikan kitab Al-Bahr al-Wafi wa an-Nahr ash-Shafi karya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani adalah yang terakhir dalam penulisan ilmu fiqh bahagian ibadah, mazhab Syafie di dunia Melayu, dalam metod rangkaian kitab yang dibicarakan ini.
Nama penyusun kitab ini cukup terkenal, di kalangan orang Arab di Makkah pada zamannya iaitu Syeikh Muhammad Shaghir al-Fathani. Orang Melayu menyebutnya Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Nama lengkap yang digunakan pada halaman depan kitab Al-Bahr al-Wafi wa an-Nahr ash-Shafi ialah "Syeikh al- 'Alim al-Kamil az-Zahid al-Fadhil asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani".

Karya beliau yang paling terkenal dan terbanyak diajarkan di dunia Melayu ialah Mathla' al-Badrain wa Majma' al-Bahrain. Al-Bahr al-Wafi adalah kitab terakhir yang dikarang Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani.

Ditinjau daripada gaya bahasa Melayu yang digunakan, kitab Al-Bahr al-Wafi lebih mudah difahami berbanding karangan beliau yang terdahulu terutama Mathla' al-Badrain. Al-Bahr al-Wafi diselesaikan di Makkah pada l8 Rejab l331/22 Jun 1913. Cetakan pertama 1349 Hijrah/1930 oleh Mathba'ah asy-Syarqiyah kepunyaan Muhammad Ramzi, Jeddah. Ia adalah atas usaha dan tashih anak pengarangnya, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani.

Syeikh Muhammad Nur al-Fathani memuji kitab Al-Bahr al-Wafi, kata beliau: "... yang adalah ia sebaik-baik kitab bahasa Melayu pada fiqh Mazhab Syafie, kerana ia mengandungi akan laut masalah fiqh yang sangat dihajati akan dia dengan ibarat yang sehabis nyata dan mudah. Maka teranglah segala hukum fiqh dan masalahnya yang sukar dan yan payah sekira-kira dapatlah pembacanya memahamkan segala ibaratnya...".

Kandungan secara garis besar diterangkan pada halaman depan ialah: “Pada menyatakan kelebihan ilmu, dan yang mempunyai ilmu. Dan menyatakan menakuti akan orang yang meninggalkan sembahyang. Dan pada beberapa hadis menyatakan beberapa bab fiqh.”

Kalimat mula-mula sesudah memuji Allah, selawat dan salam, Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani menjurus kepada memartabatkan ahli ilmu dan ulama. Kata beliau: "...bertambah kebajikan akan segala mereka yang mempunyai akal daripada segala ulama', yang nyata kelebihannya.”

Menurut beliau ulama adalah seperti, “gunung, sinar cemerlang pada hati mereka, ibarat matahari memberi petunjuk sekalian rahsia hukum syariat.” Orang yang mempunyai akal pula “dikurniakan dengan hidayah dan mereka pula dilebihkan dari kebanyakan manusia.”

Apabila menyebut kelebihan ulama, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani mengkhususkan pandangannya terhadap fuqaha (ulama fiqh), kata beliau: "Dan dikurniakan taufik akan segala fuqaha' tiap-tiap masa menguraikan segala hukum, dan menyatakan dia, dan meninggikan qawa'id al-Islam...”.

Daripada kalimat itu jelas, bahawa peranan fuqaha dengan kaedah ilmu fiqhnya (qawa'id al-Islam) adalah sangat penting. Sesebuah negeri atau pun negara Islam akan pincang apabila ketandusan fuqaha atau ada fuqaha, tetapi tidak berfungsi memberi fatwa yang tepat dan betul.

Mengenai perkara ini Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani menyambung kalimat di atas, katanya: “Dan dianugerahkan pada faham pada agamanya yang sebenar, yang betul akan mereka yang dikehendaki-Nya, maka ia berpegang dengan simpulan tali teguh dengan ketiadaan putus.”

Fuqaha atau ulama dalam bidang lainnya yang benar-benar memahami ajaran Islam yang sebenar tidak akan mudah dipengaruhi sesiapa pun. Mereka tetap berpegang kukuh kepada al-Quran, sunnah Nabi SAW, ijmak jumhur ulama dan qiyas ash-shahih yang tidak dipertikaikan keilmuan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani pula tidak diragukan kerana ketika hidupnya pernah menjadi Kadi Makkah. Beliau pula adalah guru hampir semua ulama yang berasal dari dunia Melayu pada zamannya.